Sunday, August 23, 2009

Cinta Ramadhan


Sujud syukur kepadaMU kerana memberi peluang untuk aku bertemu dengan Ramadhan yang penuh barakah pada tahun ini.


Terkenang peristiwa 1 Ramadhan yang lepas ketika laptop ku dicuri apabila sedang sibuk mencari juadah berbuka puasa http://nurulnajmin.blogspot.com/2008/09/1-ramadhan-aku-masih-ada-allah.html. Inilah Hikmah yang ALLAH berikan kepadaku. .Kerana ujian inilah membolehkan aku bertemu dengan suamiku, Maythem Kamal Abbas Al-Adli.



Siapa yang tidak sedih barang yang kita sayangi diambil orang, siapa yang tidak terluka setelah masa yang dikorban untuk menyiapkan thesis hilang begitu sahaja. Namun disudut hati yang kecil lagi kerdil, kuteruskan juga untuk bersangka baik dan meneruskan usaha ku dan tidak menoleh ke belakang semula untuk mengharapkan apa yang dimiliki dipulangkan semula. Aku hanya mampu berdoa agar pencuri itu bertaubat dan menyesali dengan perbuatan yang dilakukan. Bagaimanakah nasib nya di Hari Pengadilan sekiranya dia mati ketika melakukan kejahatan? ALLAHU Kareem... ALLAH itu Maha ADIL dan Penyayang...


" jom min, kita ke workstation IT. Kat situ min boleh guna komputer kawan akak, lagipun akak dah minta izin untuk bagi min pinjam komputer dia", ajak kak su roomate ku dari Thailand.




Apabila berada disana, terpandang aku pada seorang lelaki arab yang sedang tekun menaip sesuatu di laptopnya. Kak su memperkenalkan aku pada pemuda yang berkulit putih. Namanya Maythem dari Iraq. Lalu dia terus mempersilakan aku menggunakan komputernya dan meletakkan password untuk aku agar aku boleh menggunakannya pada bila-bila masa.


Senyap. Hening membisu. Jarak tempat dudukku dengan Maythem lebih kurang 2 meter. kak Su duduk berhadapan dengan ku dihalangi dengan papan workstation.


"tekun sunggu budak-budak IT ni. Satu suara pun tak kedengaran," monolog ku.


Selepas lebih satu jam, Maythem menegur ku...


"I feel pity to you on what had happened to your laptop. InshaALLAH, there is a HIKMAT which we dont know behind of it".


Dari situlah perbualan kami bermula dan banyak kami berkongsi bercerita berkenaan Malaysia dan negaranya serta program-program yang biasa dilaksanakan semasa Ramadhan. Cuma dia tidak puas hati kenapa Malaysia diiktirafkan sebagai negara Islam sedangkan pakaian wanita masih tidak menutup aurat sepenuhnya dan dia juga memberi komen kenapa pokok Christmas ada dimana-mana sahaja yang tingginya mencecah 'langit' sedangkan sebagai negara ISLAM sepatutnya lebih memuliakan hari-hari Islam lebih dari perayaan penganut lain.


Terkedu. Namun aku cuba menjawab dengan baik agar dia memahami kepelbagaian dan kelainan budaya dan perpaduan antara kaum yang diamalkan disini.


Namun cinta ini bukanlah cinta pandang pertama. Selepas itu kami tidak bertemu lagi hanya bertegur sapa sahaja apabila aku bertembung dengannya ketika berjalan bersama dengan Kak Su. Kak Su dan Maythem seperti adik dan kakak. Banyak yang kak Su ceritakan padaku berkenaan Maythem lebih-lebih lagi sikap nya yang rajin dan pengetahuan yang begitu mendalam. Tidak hairanlah dalam usia 25 tahun dia sudah mula mengambil PHD.


Inilah cinta Ramadhan. Hati yang tidak dimiliki sesiapa dan hanya bertawakal dengan setiap yang berlaku akhirnya memberi aku peluang untuk aku bertemu dengan pemuda dari bangsa asing. Aku bukanlah wanita yang mudah untuk jatuh cinta malah diri aku yang dianggap 'garang' bukanlah mudah untuk didekati malah sukar untuk dicintai. Tapi inilah jodoh. Pertemuan yang singkat akhirnya diakhiri dengan sebuah perkahwinan. Cinta ku terhadap suami ku kini tidak dapat dinilai. Cinta ku ini ibarat cinta yang kukuh seperti bangunan Pyramid yang tersergam indah yang mampu menggentarkan langit dan bumi. Terima kasih Ya ALLAH atas Cinta yang KAU berikan padaku. Sematkan dalam hati ku sehingga cinta ini bertemu di syurgaMU. Kau bimbinglah cinta ini agar ianya tidak pernah melupakan MU....amin ya Rabbal Alamin

" I promise you and ALLAH to stay with you, supporting in every step you do, to create our family to be the happiest InshAALLLAH...and help each other to achieve our goals in this life to get the heaven we want..InshaALLAH"