Thursday, September 4, 2008

1 Ramadhan : Aku masih ada ALLAH


Aku menulis bukan kerana meminta simpati. Aku menulis bukan kerana bangga dengan apa yang aku alami. Aku hanya menulis kerana ingin menyampaikan pengajaran dan iktibar buat masyarakat di luar sana khususnya yang beragama ISLAM dan percaya pada Qada' dan Qadar.

1 Ramadhan. Di saat-saat umat Islam di seluruh negara sedang menikmati kurniaan hikmah berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, memelihara tutur kata dan perbuatan semata-mata ingin meraih darjat yang tinggi di sisi ALLAH. Namun kita lupa, puasa juga mengajar kita erti kesabaran dengan segala macam mehnah dan dugaan yang kita hadapi.
Hanya tinggal 3 jam lagi azan maghrib akan berkumandang. Perjalanan dari KL ke Ipoh tidak serasa memenatkan memandangkan cuaca pada hari itu agak mendung. Hujan renyai-renyai menitiskan embun petang tanda kasih sayang ALLAH kepada hambaNya agar tidak merasa bahang kepanasan pada hari pertama berpuasa. Setelah sampai di Ipoh, aku dan ibu berhenti sebentar di pasaraya untuk membeli santapan berbuka puasa. Beg pakaian dan laptop ku masih berada di dalam bonet kereta kerana selepas menghantar ibu ke rumah, aku akan meneruskan perjalanan ke UTP. Masa yang di ambil untuk membeli makanan tidak sampai 30 minit. Hujan turun sangat lebat. Selebat-lebat titisan bagaikan menangisi sesuatu kejadian. Aku meminta ibu tunggu di bawah bumbung untuk berteduh dan aku berlari anak untuk mendapat kereta yang ku 'parking' agak jauh. Orang ketika itu memang ramai. Berebut-rebut untuk membeli juadah berbuka.




Dari jauh kelihatan serpihan kaca di kaki jalan raya berhampiran dengan kereta ku. Semakin hampir aku dengan keretaku, semakin banyak serpihan kaca bertaburan. Apabila aku ingin menekan punat 'alarm', aku terkedu. Diam seribu bahasa. Inna lilahi wainna ilaihi raji'un.....KERETA KU DI PECAH ORANG!!!

Aku terus membuka bonet untuk memastikan laptop ku selamat, tetapi aku terima bahawa semua kejadian itu adalah dari yang MAHA MENGETAHUI. Laptop yang penuh dengan simpanan projek master ku, thumbdrive, hardisk dan beg pakaian ku telah dicuri.Aku berjalan perlahan menuju ke tempat ibu ku berteduh. Tidak ada titisan air mata yang mengalir ketika itu. Aku terus memeluk ibu.


"Mak, barang min dicuri". Aku berjalan semula ke kereta tanpa peduli dengan simbahan hujan yang turun tidak berhenti. Orang ramai mengerumuni di kereta. Setiap soalan yang ditanya aku jawab dengan tenang. Apabila aku masuk ke kereta untuk bergerak ke balai polis, aku tidak mampu menahan kedukaan ini.Lemah segala tubuh badan ku.Tiada kekuatan lagi ketika tanganku mula memegang stering kereta. Aku menangis, terus menangis. Mengapa ianya terjadi ketika dalam bulan sebegini?!!

"menangislah,min memang berhak menangis kerana kita manusia biasa tetapi jangan ditangisi kerana menyesali takdir dari ALLAH". Pesan ibu dan dia terus mengambil alih tempat pemanduan.

Aku akui, sepanjang menjawab setiap soalan dari Inspektor polis, aku seperti endah tak endah.Bukan niat untuk mencebik, tetapi inilah realiti kehidupan. Sebagai seorang polis yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan orang awam, mengapa tidak terlintas dihati mereka untuk memberi layanan kepada orang yang dalam kesusahan. Sepanjang berada 1 jam setengah di dalam konti soal jawab, telingaku bingit mendengar lagu-lagu yang agak melaghakan dan ianya dipasang dengan kuat. Inspektor yang menyoalku tidak menutup aurat dan masih berseluar jean ketat.Beberapa anggota polis lain masih bergelak ketawa tanpa mengambil peduli perasaan ku yang sedang berdukacita. Pada ketika itulah, kebergantungan ku pada manusia "sifar". Aku meletakkan sepenuh jiwa, raga dan kebergantungan kepada yang ESA dan kepada Nya sahajalah aku memohon pertolongan. Aku yakin ALLAH akan membantuku sekiranya ku ikhlas dan redha dengan ujian yang diberi. Aku meletakkan ketaqwaan yang paling tinggi dan harapan sepenuhnya kepada rukun iman ke enam : Percaya pada Qada' dan Qadar. InsyaALLAH sekiranya kita bertaqwa, ALLAH pasti memberikan kita jalan penyelesaain dan lebih-lebih lagi ianya berlaku pada hari pertama di bulan yang penuh dengan BARAKAH.Kehidupan kita, barang dan hak milik kita di dunia ini hanya sementara. Mungkin ALLAH ingin mennyucikannya dari perkara-perkara yang syubhah. Redhalah dengan apa yang telah terjadi. Sesungguhnya aku masih ada ALLAH. Aku masih ada ALLAH.

”Barangsiapa yg bertaqwa kpd Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan Allah akan mengurniakan rezeki dr arah yg tidak disangka-sangka kpdnya.” (At-Taqwa 3)


"YA ALLAH, aku bukanlah hamba semulia RasulMu, aku bukanlah hamba sewarak Rabiatul Adawiyah, dan aku bukanlah seperti Nabi Ayub yang tabah menerima semua dugaan. Aku hanya hamba Mu yg kerdil lagi lemah. Sekiranya ujian yang Engkau berikan ini sebagai kafarah dari dosaku, aku redha, sekiranya ujian ini adalah tanda kasih sayang Mu terhadap ku, aku bersyukur, tetapi janganlah sesekali kau memalingkan diriku dari pandangan Mu. Kau tambahkan lah cintaku terhadap Mu dan jangan Kau luputkan cintaku sehingga ku bertemu dengan MU."


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya. Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”pesan ibuku berkali-kali.

Aku menangis lagi .
"Ya ALLAH, aku redha dengan segala bentuk ujian dariMu. Kau bersihkan jiwaku dari noda-noda hitam yang mula menyerang diriku. Berikan kemanisan dan nikmat mencintaiMu serta limpahkan kerinduan untuk bertemu dengan MU. Tuhanku, aku akan menerima apa jua cubaan yang akan Engkau berikan, aku akan bersabar apa pun bentuk cubaan yg timpakan ke atasku asalkan Engkau masih Redha dengan ku. Tuhanku...berikan lah kekuatan kepadaku, Kau gantikan sesuatu dengan kegembiraan yang tidak pernah kunjung malap".


Firman Allah yang bermaksud: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Aku akui setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Bersabarlah. Bukan mudah untuk memiliki sifat sabar lantaran itulah sikap sabar dianggap paling mahal dan tinggi nilainya .
"Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah ali-Imran, ayat 200)
Untuk Sahabat ku, beringatlah. Negara kita tidak dapat menjamin keselamatan 100%. Walaupun barang berharga dianggap selamat apabila diletakkan di bonet kereta tetapi ia belum cukup menjamin bahawa pencuri sekarang tidak dapat mengesan sesuatu dari kereta kita. Teknologi semakin maju. Walaupun pencuri ini kebanyakkannya terdiri dari yang kurang berpelajaran namun bab-bab ini mereka sangat kehadapan. Alat pengesan laptop atau barang-barang berharga seperti emas boleh dikesan dengan hanya melihat meter dari alat yang digunakan. Berhati-hatilah dan jangan mudah mengambil endah terhadap apa yang orang lain pernah hadapi. Sesungguhnya orang islam itu tidak akan terjatuh ke dalam lubang atau lopak yang sama sebanyak dua kali.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yg beriman dan melakukan amalan soleh dan nasihat-menasihati supaya (menjalankan) kebenaran dan nasihat-menasihati supaya sabar menghadapi kesulitan "
AKU MASIH ADA ALLAH.

2 comments:

Anonymous said...

kak min.. simpati sy pd akak.. xpe.. ade hikmah sume tu, insyaallah.. dlm bln ramadhan lak tu.. :)

Maythem said...

Because of this accident, I met 7obby for the first time.