Monday, September 22, 2008

Antara kesenangan dan kesusahan





Sekiranya kita diberi pilihan antara hidup senang atau susah, pastinya kita akan memilih pilihan pertama - hidup dengan penuh kenikmatan dan tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu. Ramadhan kali ini mengujiku untuk membuat pilihan berpandukan pada hati, perasaan dan fikiran.




Pastinya penantian untuk berbuka puasa anjuran PETRONAS di masjid UTP ditunggu-tunggu oleh staff dan pelajar-pelajar. Dengan hidangan makanan yang menyelerakan, pelbagai lauk pauk dihidang bersama nasi 'Beriani', pastinya peluang keemasan ini jarang ditolak. Lebih-lebih lagi aku ini dikira sebagai staff, semestinya ada tempat yang telah di'serve'kan dan pastinya akan dilayan dengan sempurna. Namun aku berada di persimpangan jalanan.Di saat perjanjian telah dibuat dengan teman-temanku untuk duduk semeja, aku mendapat panggilan telefon dari MUSLIMAT PARIT menjemputku untuk berbuka bersama di surau kampung Pulau Pisang. Gotong royong memasak akan dilakukan di sebelah petang sebelum berbuka.


Ketika inilah aku sedang diuji dengan keimanan, dimanakah pilihan ku ketika ini. Keputusan harus dibuat dengan segera. Setelah 6 tahun aku di UTP, tidak pernah sekalipun aku melepaskan peluang berbuka puasa anjuran PETRONAS ini. Namun ianya tidak perlu berfikir berulang kali. Aku sudah ditamrin setiap semester sejak aku berada di kampus lagi. Kehidupan sebagai hamba ALLAH yang diuji dengan sifat jihad perlu disemat dalam ruhiyyah. Jihad seharusnya selari dengan kepayahan dan kesusahan. Apa salah sekiranya aku membatalkan peluang kesenangan dan memilih pengalaman yang lebih bermakna untuk makan sekali dengan orang kampung di sana. Aku rasa inilah pengalaman yang ku cari selama ini. Hidup bergotong royong memang menyeronokkan lebih-lebih lagi perkongsian bual bicara itu datang nya dari makcik-makcik yang berpengalaman seusia dengan umur memberi erti bagi orang muda sepertiku. Pergorbanan mereka dalam membahagikan masa dan tugas betul-betul menyindirku sedangkan ku masih belum berkeluarga tetapi kadang-kadang sudah pandai memberi alasan yang pelbagai untuk tidak hadir ke program. Aduh!! tercucuk hidung ku sendiri.


Azan semakin hampir, mengapa masih tidak ada ada lagi jemaah yang hadir meramaikan surau ini. Surau yang separuh batu dan separuh papan mengingatku semasa kanak-kanak lagi menemani arwah nenekku bersolat terawikh di Bidor, kampung lama ku sebelum berpindah ke Ipoh. Alhamdulilah, akhirnya sebelum beduk diketuk, sudah ramai jemaah muslimin dan muslimat yang datang untuk berbuka puasa bersama. Makcik-makcik yang boleh kupanggil nenek masih gagah berjalan membawa lauk pauk dan ulam kegemaran. Aku pun tidak pandai menyebut nya tapi yang kudengar mereka memanggil ulam 'BEDU'. Bertemankan nasi putih, acar dan ikan goreng menjadi pembuka selera kami yang seharian menahan lapar dan dan dahaga. Loghat Bota mereka semasa berbual sangat 'pekat'. Aku hanya tersenyum sahaja tanda tidak memahami perbualan mereka. Selesai ber'ifthar', aku bersolat jamaah maghrib bersama mereka. Gembira dan berterima kasih kerana ALLAH masih memberiku peluang merasai nikmat seperti ini. Aku tidak menyesal membuat keputusan. Walaupun aku keseorangan tanpa kawan seusia tetapi aku bersyukur kerana dipilih untuk duduk bersama dengan makcik-makcik ini. Syukran, semoga Ramadhan kali ini memberi ku erti bermakna.

No comments: