Syukur ke hadrat Ilahi kerana terpilih dari sebahagian AJK Muslimat negeri Perak untuk sama-sama mengikuti rombongan ke Parlimen untuk persidangan Dewan Negara yang dijalankan pada 19 hb April bersempena dengan hari keputeraan Sultan negeri Perak dan Perak mendapat cuti umum .
“Kepada semua muslimat, ana mewakili muslimat Negeri Perak memohon kemaafaan kerana pada hari ini, kita hanya melawat persidangan Dewan Negara bukan Dewan Rakyat. InshaALLAH ada rezeki kita akan buat rombongan sekali lagi untuk persidangan ke Dewan Rakyat”, kata pengarah program.
“ermmm, apa bezanya Dewan Negara dan Dewan Rakyat?”, bisik ku kepada sahabat sebelah sambil senyum tersipu-sipu malu sebab menanyakan soalan yang pernah diajar semasa Tingkatan 5 dulu.
“Dewan Rakyat ni ahlinya terdiri dari ahli Parlimen yang menang masa pilihanraya dulu, dan Dewan Negara ni ahlinya terdiri dari senator-senator yang dipilih dari setiap negeri melalui dewan Undangan negeri yang mendapat perkenan dari Sultan masing-masing bersama-sama dengan Jabatan Kerajaan”.
Panjang lebar sahabatku ni menerangkan pada ku.
Kami sampai ke Parlimen sebelum pukul 10 pagi. Ini bermakna waktu bertolak kami tepat mengikut tentatif. Kesemua peserta tertidur dengan nyenyak di dalam bas semasa perjalanan kerana masing-masing diminta berada di simpang pulai tepat pukul 6.00 pagi. Bagi yang tinggal agak pedalaman semestinya perlu bertolak dari kawasan masing-masing dalam pukul 4.00 pagi. Ini termasuk juga lah dengan kawasan Parit tempat aku menumpahkan bakti.
Semasa tiba disana, perasaan girangku melonjak-lonjak. Parlimen pernah dilihat di dalam kaca TV, duit syiling atau pun pada duit kertas sahaja. Sekarang ianya di depan mata. Akan ku menggunakan kesempatan ini untuk melihat luar dan dalam bangunan parlimen dan menimba ilmu sebanyak mungkin untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat yang masih belum berkesempatan. Sebelum memasuki persidangan Dewan Negara, kami diminta untuk menyerahkan kamera, video, handphone dan apa sahaja alat elektronik agar tidak menganggu sesi persidangan nanti. Walapun agak sedih apabila menyerahkan bahan-bahan sebagai bukti aku pernah berada dalam bilik Dewan Negara, namun aku perlu patuh. Jika tidak, jangan mimpi untuk berjumpa dengan Senator-senator atau pun ahli-ahli politikus yang ada aku kagumi malah ada juga yang menjengkilkan.
Ada beberapa peserta lelaki yang tidak dibenarkan masuk kerana tidak mematuhi kod pemakaian. Tetapi atas sifat belas kasihan pegawai disana, mereka hanya diminta untuk menyewa tali leher sebelum dibenarkan masuk. Pegawai juga menerangkan etika yang perlu dipatuhi apabila kita berada dalam bilik persidangan seperti memberi tunduk hormat sebelum keluar ,jangan membuat bising dan jangan tidur.
Kaki ku melangkah masuk perlahan dan berhati-hati kerana diberitahu sudah agak ramai pemerhati yang masuk jatuh tergolek kerana tangga nya agak curam. Kedinginan penghawa dingin mula membingit ke tulang rusukku lalu ku capai ‘blazer’ menutupi tubuhku. Aku melihat ramai ahli-ahli politikus yang kukenali seperti Yb Datuk Mukriz, Yb Datuk Rosnah, Yb Datin Paduka Datuk Hayati dan beberapa lagi. Namun mataku meliar mencari senator yang sangat kukagumi, Yb Senator Mumtaz. Semua persoalan dan perbahasan yang diucapkan oleh beliau berdasarkan fakta tetapi sebagai pemerhati mungkin Yb Mumtaz perlu memperlahankan sedikit kepantasan ucapan nya kerana agak susah untuk ku memahami bait-bait kata beliau. Maaf Yb, sekadar komen yang mungkin boleh diabaikan dari anakanda yang masih belum memahami apa-apa dalam bidang politik ini.
Tiba-tiba terlihat satu susuk tubuh yang agak menonjol baru masuk ke dalam dewan. Memakai baju kebaya yang agak ketat disamping warna kuning berkilauan menyerlahkan kehadirannya di dalam dewan. Aku memerhati, siapakan beliau. Cuba memfokuskan mataku kepadanya, ku tanyakan kepada sahabat sebelah ku.
“Itu bukan ke Dr Mashitah Ibrahim?”.
“Iyelah…betul. Sedihnya, dia berubah 360o. takde gaya ustazah dah”.
Dr Mashitah, suatu nama yang agak besar yang pernah menguguli bidang-bidang agama dan ceramah. Pernah menjadi idola ku semasa ku kecil kerana suka pada cara penyampaian ceramahnya dan ilmu islam yang dikongsi pernahku jadikan sebagai sumber kehidupan sebagai seorang muslim. Namun setelah beliau memlih untuk mengikut parti barisan kerajaan, perwatakan, pakaian dan pemikirannya berubah dan beliau sendiri telah membangkitkan beberapa isu agama yang mengundang kemarahan umat Islam. Akhirnya aku menolaknya ketepi sebagai salah seorang yang pernah aku kagumi dahulu.
Dalam persidangan Dewan Negara, banyak isu-isu yang dibangkitkan seperti jenayah siber, bunuh diri, saman ekor, pelancongan, aurat pramugari, surau di transit pelepasan airport, dan sebagainya. Hampir 2 jam aku berada di dalam. Sahabat disebelah ku telah terlena namun ku kejutkan juga. Setelah tamat sesi menjawab soalan berkenaan rang undang-undang, sesi perbahasan dibuka di mana ketika itu Yb Mumtaz bangun dan mengalu-alukan kami sebagai wakil Muslimat PAS. Kemudian, Yb Abdul Rahman Bakar bangun dan menghemtam PR habis-habisan. Katanya kemenangan di Sarawak membuktikan bahawa rakyat masih percaya akan BN. Namun PAS tidak mendapat apa-apa malah ‘telur ayam’ yang diterima. Semua YB dari barisan kerajaan bersorak dan menepuk-nepuk meja tanda setuju. Katanya lagi, PAS membuang masa berkawan dengan DAP dan PKR. Lebih baik masuk BN dan tidak perlu habis duit semasa pilihanraya kerana asyik kalah berkali-kali. Bingit juga telinga mendengarnya. Rasa seperti hendak bangun dan membidas balik kata-katanya yang kurang ajar. Akhirnya kami pun keluar beramai-ramai dari Dewan Negara kerana muak dengan kata-katanya yang tidak masuk akal. Sekiranya hujah dan dalil Alquran boleh dibaca dan mereka memahaminya, pasti mereka yang menempelak kami tadi, akan tunduk menyesal dan menangis kerana menghina parti yang dibina atas dasar Islam dan Agama ALLAH. Tidak mengapa, hari ini hari mereka, suatu hari nanti ALLAH pasti akan tunjuk yang mana haq dan yang mana batil.
Setelah kami keluar dari Dewan Negara, Yb Mumtaz menyambut kami. Dia mengajak kami ke bilik persidangan Dewan Rakyat. Inilah yang aku nanti-nantikan. Di sinilah Dato Seri Tuan Guru haji Hadi duduk, disini jugalah perdana menteri yang aku gerami bersidang bersama dan disinilah semua ahli-ahli parlimen yang pernah aku lihat mereka di kaca-kaca tv dan di dada akhbar bergaduh, menghina , berlawak dan ketawa sesama mereka.
Pak engku antara pegawai tertinggi di Parlimen menerangkan kepada kami tentang institusi berparlimen. Kami mendengar dengan penuh fokus. Ada juga yang mencapai buku nota kecil menulis setiap maklumat yang penting untuk dijadikan rujukan.
"Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Setiap ahli Dewan Rakyat dipilih untuk mewakili satu kawasan parlimen melalui pilihanraya pelbagai parti manakala ahli dewan Negara bertindak sebagai dewan perwakilan rakyat yang tertinggi di Malaysia. Seramai 222 ahli dewan Rakyat dan 70 ahli dewan negara. Untuk kelayakan, calon mestilah seorang warganegara Malaysia, mesti tidak muflis ,tidak kurang dari 21 tahun bagi dewan Rakyat dan tidak kurang dari 30 tahun bagi dewan negara, waras fikiran dan tidak mempunyai rekod jenayah”.
Setiap pertanyaan dijawab Pak engku dengan jujur. Beliau tidak menunjukkan ‘bias’ kepada mana-mana pihak. Beliau juga tidak menafikan bahawa kebanyakkan perbahasan yang dibawa oleh parti pembangkang banyak benarnya dari yang salah. Tetapi kuasa kemenangan selalu berpihak kepada kerusi majoriti dan pihak minoriti ditindas.
Setelah itu kami dijamu makan tengahari dengan layanan istimewa. Terasa diri ini seperti Yb yang kelaparan setelah penat mendengar ahli dewan bersidang. Kemudian kami di bawa ke tingkat 14 dan disitulah pejabat pembangkang ditempatkan. Yb dari Baling dengan panggilan mesranya Pak Ucop menerangkan kepada kami bahawa disinilah semua parti pembangkang duduk bermesyuarat semasa sesi rehat bagi membincangkan tentang isu-isu yang akan dibangkitkan semasa bersidang. Setelah melihat sekeliling pejabat, kami dibawa ke tingkat 17, tingkat yang paling atas sekali yang dipanggil anjung. Di sinilah kami dapat melihat keseluruhan bandaraya kuala lumpur dan disini juga lah semua pimpinan mencari ketenangan setelah letih menjalankan tugasan masing-masing.
Aku mengucap berjuta-juta terima kasih kepada YB mumtaz kerana sudi meluangkan masa bersama kami walaupun Yb sendiri sedang sibuk bersidang. Antara amanat yang diberi, “Memang patut kita ambil kesempatan datang dan melihat dengan mata sendiri bagaimana parlimen ini berfungsi kerana ini akan menambahkan semangat kita untuk terus bekerja kerana kita sudah dapat melihat matlamat yang hendak dikecapi. Begitu juga dengan kisah Rasulluah semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj dimana ALLAH memberi peluang kepada Rasulluah melihat syurga dan neraka dan kerana penghakiman terakhir itulah Rasulluah beribadat dengan sungguh-sungguh untuk memasuki Jannah dan mengelakkan diri dari dicampak ke jahannam.”
Jam menunjukkan 2.00 petang dan kami melambai-lambai tangan sebagai tanda perpisahan kami bersama YB mumtaz. Kemudian kami singgah bersembahyang di masjid negara sebelum mencuci mata di Jalan Tunku Abdul Rahman. Kami sampai di Ipoh tepat pukul 11.30 malam. Walaupun penat menyelubungi tubuh, tapi hati dan perasaan bernyanyi kegembiraan kerana inilah pengalaman yang paling manis pernah aku kecapi. Hakikatnya aku tahu aku tidak akan berpeluang untuk duduk bersama YB-YB di parlimen tetapi sekurang-kurangnya aku tahu bagaimana tugas sebagai seorang YB.