Friday, August 8, 2008

Al-Huffaz : Antara mahu atau malas


Alhamdulilah dengan izin ALLAH s.w.t, saya tekadkan niat untuk menghadirkan diri dan jiwa dalam seminar menghafaz Al-quran yang telah diadakan di universiti Teknologi PETRONAS 3 minggu lepas.

Adakah anda yakin anda boleh menghafaz Al-quran 30 juzuk? Itulah soalan pertama yang ditanya oleh penceramah kepada peserta. Rata-rata yang menjawab semua nya masih ragu-ragu. Begitu juga dengan diri ini yang mudah tergoncang imannya dan sukar untuk beristiqamah. Namun, beberapa motivasi dari Hj. Mohd Shafiee Md Amin menambahkan keyakinan, sekiranya hidup kita bergantung dan berpegang pada mukjizat ALLAH, pasti sifat kemalasan dapat dibendung. Yakinlah kita ada ALLAH. ALLAH itu dekat. Denngan berbuat sesuatu kerana ALLAH pasti ia akan kekal. ANTARA MAHU ATAU TIDAK SAHAJA.

Untuk menghafaz Al-quran perlu ada cara dan adab tersendiri. Sebelum melakukan sesuatu, banyakkan lah beristighfar dan memohon keampunan.

" ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim" (Q 61:7).

Dan yang paling penting, niat kita menghafaz adalah kerana ALLAH. Dengan menghayati petunjuk dan nilai ketuhanan secara serius dan berterusan, terbinalah watak manusia rabbani yang sentiasa menyedari kehadiran Tuhan dalam segala tingkah lakunya.

Allah berfirman:
"Dan orang2 yang berjihad (bersungguh-sungguh) untuk mencari keredhaan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya ALLAH bersama-sama dengan orang yang berbuat baik" (Q29:69)

Al-Quran bersifat penyembuh dan rahmat buat sekalian alam. Berdoalah agar kita diberi kekuatan untuk kita terus menghafaz ayat-ayat ALLAH dan seterusnya diberikan ruang untuk memahami isi kandungannya.

"Dan sesungguhnya ALLAH telah mempermudahkan AL-Quran itu untuk dijadikan peringatan (baca/hafaz/faham makna). Adakah di kalangan kamu melakukannya?"

Sepanjang seminar selama 2 hari, penceramah telah menceritakan pengalaman beliau yang satu ketika dahulu tidak tahu membaca Al-quran. Hidup beliau lebih kepada kejayaan duniawi. Alhamdulilah, pada satu peristiwa dimana beliau diminta oleh rakan-rakannya untuk bertadarus selepas solat subuh. Pelbagai alasan yang diberi agar dirinya terlepas dari halaqah tersebut. Namun beliau dipaksa juga oleh sahabatnya untuk membaca dan terpaksa menebalkan muka dengan bacaan yang tersekat-sekat. Tetapi ALLAH itu maha penyayang, ALLAH telah memberikan beliau kekuatan, azam, usaha dan istiqamah untuk terus membaiki bacaannya dan berjaya menghafaz sehingga 30 juzuk Al-Quran.

Didalam buku, beliau memberikan beberapa tips dalam membantu memahami kaedah Huffaz. Lancarkan ayat yang hendak dihafaz terlebih dahulu dan diulang-ulang sehingga 60 kali sambil mata dibuka dan ditutup diantara setiap 5 kali bacaan.Kaedah ulangan di dalam hafazan akan banyak membantu di dalam menguasai kafasihan bacaan. Selain itu bacaan sebanyak 60 kali akan membawa maklumat tersebut di peringkat awal ingatan jangka panjang. Dalam memastikan agar ayat yang diulang tidak mudah terlupa setelah beberapa hari, beliau mencadangkan agar kita mengambil masa terluang samaada ketika memandu, menunggu bas atau sebagainya untuk menghafaz lagi ayat yang telah diulang 60 kali.Dalam jangka masa yang panjang kita akan merasakan ayat itu mudah untuk menjaga. Ini kerana Al-Quran terlalu liar dan mudah terlepas dari ingatan kita. Rasulluah bersabda:

"Teruslah menjaga hafazan Al-Quran. Demi Zat dan jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya. Ia lebih cepat lepas dari lepasnya unta dari ikatannya" (Hadis Bukhari Muslim)

Semoga dengan pendekatan ilmu yang diperoleh, kita akan tergolong dikalangan ahli2 Huffaz kerana ALLAH telah menjanjikan syurga bagi golongan ini. Ingatlah pahala bagi bacaan Al-Quran diberi bagi setiap huruf dan ia boleh digandakan sehingga 700 kali. Sampaikanlah kepada keluarga, sahabat dan kesemua umat Islam dimuka bumi. Sekiranya diberi peluang, sertailah program sebegini. Tidak rugi kita mengeluarkan duit yang banyak kerana ilmu yang diperolehi membantu kita menuju ke Syurga nan ABADI.



No comments: