Selamat menyambut hari Asyura kepada semua warga Islam. Pada hari ini umat islam disunatkan berpuasa kerana banyak peristiwa yang berlaku pada hari kesepuluh Muharam bagi mencerminkan kegemilangan umat Islam ketika itu. Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi. Ini bersesuaian dengan hadis nabi yang menyatakan
“A’isyah r.a berkata maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Daripada hadith-hadith di atas ini, dapat kita fahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan satu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah di gugurkan. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).
Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah maksudnya:
“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 pada bulan Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).
Peristiwa pada bulan Muharam
Antara peristiwa besar yang berlaku kepada Nabi dan tokoh Islam pada bulan Muharam ialah apabila Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya diselamatkan dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan. Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud. Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud. Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun. Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Nabi Yusuf di hari tersebut. Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya. Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.. Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar. Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda dan Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah.
Syahidnya Husain bin Ali
Tanggal 10 Muharram 61 H atau tanggal 10 Oktober 680 merupakan hari pertempuran Karbala yang terjadi di Karbala, Iraq. Pertempuran ini terjadi antara pasukan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Husain bin Ali iaitu cucu Rasulluah beranggotakan sekitar 70 orang melawan pasukan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Ibnu Ziyad, atas perintah Yazid bin Muawiyah. Yazid merupakan khalifah Umayyah pada ketika iitu. Mengikut sejarah dan cerita suami, Yazid merupakan seorang pemerintah yang kejam, suka berjudi dan minum arak. Kerana benci dan tamakkan kuasa, Yazid telah menyeksa rakyat nya sebagai umpan agar Husain akan datang menyelamatkan mereka. Pada hari itu hampir kesemua pasukan yang dipimpin oleh Husain bin Ali termasuk diri Husain sendiri syahid dibunuh, kecuali pihak perempuan, serta anak Husain yang sakit bernama Ali bin Husain. Diceritakan juga, Husain dibunuh dengan sangat kejam apabila tangannya dipotong dan kepalanya dipancung. Badannya diheret oleh kuda. Masyarakat di Karbala ketika itu rasa menyesal teramat sangat kerana merekalah yang telah meminta Husain untuk datang menyelamatkan mereka semasa hari penyeksaan berlaku tetapi sudah ditakdirkan Husain mati dibunuh. Bagi pemikiran mereka, kalau bukan mereka yang memanggil Husain untuk menyelamatkan mereka, pasti Husain tidak dibunuh dengan sebegitu kejam.
Sebagai seorang yang warak dan bertaqwa, hakikatnya Husain sudah tahu bahawa ajalnya akan tiba di Karbala. Namun beliau tetap menyahut seruan Jihad dan lebih rela mati syahid daripada mati biasa. Selepas peristiwa syahidnya Husain, masyarakat syiah akan menyambut perayaan Asyura setiap 10 Muharram bagi mengingati peristiwa kematian Husain. Cara perayaan mereka adalah dengan melukakan diri sendiri tanda menyesal akan kematian Husain. Bayi dan kanak-kanak juga telah dilatih untuk melukakan diri sendiri dan sehingga hari ini peristiwa ini telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Syiah disana. Semasa perayaan ini, beratus-ratus askar akan menjadi pengawal untuk menjaga keselamatan di Karbala kerana puak sunni akan mengganggu perayaan yang disambut. Menurut suami juga, semasa perayaan ini, satu majlis makan secara besar-besaran akan diadakan. Setiap rumah akan memasak makanan dan dihidangkan dalam periuk yang besar. Alhamdulilah, suami bukanlah dari golongan syiah. Dia juga tidak bersetuju dengan pegangan Syiah yang menyambut perayaan ini dengan melukakan diri sendiri. kerana dalam Hadith menyebut :
Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyakkan pakaian serta berteriak dengan teriakan kaum jahiliah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment