Thursday, December 8, 2011

Peranan Muslimat Muda dalam gerakan Islam

gambar hiasan


Allah telah menciptakan lelaki dan perempuan untuk bersama-bersama memakmur dan menguruskan bumi dengan baik tanpa melanggar hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh ALLAH dan Sunnah.




Oleh demikian, soal kepimpinan dan politik adalah agenda hidup manusia. Setiap kali kita bersolat, kita akan membaca, Inna solati wanusuki wamahyahya wamamati lilahirabbil Alamin. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana ALLAH Taala.




Ini adalah amanah sejak kita berbai'ah (berjanji) dengan ALLAH sebelum dilahirkan bahawa setiap benda yang kita lakukan adalah demi ALLAH dan agamaNya. Tugas menjadi Khalifah adalah tanggungjawab semua, suka atau tidak kita wajib laksanakan kerana ini akan menjadi bukti dan hujah apabila bertemu dengan ALLAH di sana kelak. Namun yang perlu dititikberatkan adalah niat Ikhlas semata-mata kerana ALLAH.




Firman ALLAH di dalam surah Alhujurat ayat 15 yang bermaksud




"Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya)"


Allah telah menentukan bahawa setiap manusia mempunyai peranan yang berbeza dalam melaksanakan tugas mengikut kemampuan dan kemahiran masing-masing. Sepertimana Allah berfirman “Qul, kullun ya’malu a’la syakilatih". (Setiap seseorang bekerja mengikut kemahiran)




Sabda Rasulullah SAW “Kamu berada di satu penjuru dari penjuru-penjuru Islam, justeru jangan kamu biarkan Islam diserang dari penjurumu".




Muslimat muda boleh dikategorikan sebagai wanita yang berumur dari 15 ke 40 tahun. Penglibatan muslimat muda dalam harakah amat bermakna dan ‘significant’ terutamanya dalam gerak kerja Jemaah Islam. Sekiranya tugas pemuda lebih diperlukan dalam kerja-kerja fizikal, muslimat muda pula lebih diperlukan dalam kemahiran memberi idea dalam apa jua bentuk penyampaian seperti penulisan, multimedia dan sebagainya. Selain dari itu, muslimat muda adalah nadi kepada muslimat 'veteran' dalam menyalurkan tenaga dalam menjayakan program malah mereka juga mampu menjadi 'suara negara' dalam kebangkitan wanita muda.




Majoriti dari muslimat muda menyandang gelaran mahasiswa,bekerja dan menjaga anak namun ianya bukan menjadi alasan untuk kita menidakkan tanggungjawab sebagai khalifah yang mampu membawa perubahan yang positif kepada Islam dan negara. Dunia yang dahulu dihuni oleh pemerintahan luar menyaksikan gelombang pembaharuan dan kebangkitan yang diteraju oleh orang muda. Contohnya seperti Revolusi Iran pada tahun 1979 yang rata-ratanya digembleng oleh tenaga muda mampu membawa arus kebangkitan Islam ke seluruh pelosok dunia tidak terkecuali di Malaysia. Begitu juga dengan pemerintahan dibawah kepimpinan Muhammad Al Fateh yang berjaya menawan Kota Konstantinopel ketika usianya baru mencecah 24 tahun. Mesir juga tidak ketinggalan dengan lahirnya Hassan Albanna yang menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin ketika umurnya baru menginjak 23 tahun dalam menentang kezaliman Rejim Mesir yang berleluasa.

Dalam sejarah Islam juga mencatatkan nama-nama serikandi yang mashyur yang telah berjuang dan terkorban demi memartabatkan Islam seperti Saidatina Khadijah Khuwalid, Fatimah Az Zahra, Sumayyah, Aisyah, Asiah, Siti Hajar, Asma’ Abu Bakar dan ramai lagi. Masing-masing telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan Islam malah pada ketika usia muda remaja seperti Aisyah, Fatimah dan Asma' telah terlibat menjadi wakil muslimat dalam setiap ilmu dan perkara. Namun sejauh mana kekuatan itu dapat diwarisi oleh barisan muslimat muda pada zaman ini?


Wanita dicipta dari tulang rusuk kaum Adam. Jika kita membentuknya dengan kasar, maka pecah dan patahnya tulang tersebut. Jika dibiarkan sahaja bengkok maka wanita itu akan bersifat buruk selama-lamanya. Oleh demikian wanita ini perlu dididik, dibelai dan dinasihati dengan lemah lembut agar sifat tulang rusuk itu tidak patah dan menjadi lurus. Oleh sebab itu, kehebatan seorang wanita itu perlu diperhalusi dengan ilmu dan akal fikiran yang jitu.




5 perkara yang perlu dikuasai oleh muslimat muda ialah ilmu, multimedia, pidato, peka isu dan penulisan. Muslimat muda perlu didedahkan dengan masalah sebenar masyarakat dan memahami hiruk pikuk kehidupan agar mereka bersedia berhadapan dengan cabaran dan bersedia melaksanakan Islam dengan sebaiknya mengikut garis panduan yang telah dinyatakan. Muslimat muda perlu bergading bahu bersama muslimat 'veteran' dan kaum muslimin dalam menyakinkan masyarakat bahawa pemerintahan berteraskan Islam adalah yang terbaik dan adil. Namun perlu diingatkan bahawa setiap tugas yang dijalankan perlulah menjaga batas-batas pengaulan dan muamalat dan menutup aurat seperti yang ditetapkan dalam Alquran dan Mazhab Syafie sehingga tidak menimbulkan fitnah yang membawa kecelakaan dan kemudaratan dalam gerakan dakwah Islam.


Walaupun banyak halangan yang ditempohi sepanjang bergiat dalam gerakan Islam seperti halangan keluarga, kerjaya, belajar dan anak-anak yang masih kecil, hakikatnya hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Pelbagai alasan yang diberi walaupun pahit untuk diterima. Dalam gerakan Islam, penglibatan muslimat muda masih kurang. Alangkah ruginya jika kita hidup penuh alasan dan perjuangan dakwah itu hanya terhenti setelah berkahwin tidak seperti aktif semasa bujang. Yang paling penting, muslimat muda perlu tahu dan bijak menguruskan masa dengan baik dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri mahupun ibu dalam keluarga. Kita hendaklah beriltizam di tempat bertugas dan setiap suasana hidupnya hendaklah diselaraskan dengan kebaikan dan kepentingan amal dakwah. Matlamat perlu jelas dalam menegakkan Daulah Islamiyah. Penglibatan dalam gerakan bukan bermakna untuk mengejar pangkat dan 'taklifan' tetapi adalah suruhan dari ALLAH bahawa tanggungjawab setiap muslim perlu dinasihat dan menasihati serta memerlukan satu sama lain agar bumi yang kita duduki dapat dihidupkan dalam suasana Islam yang harmoni.



waalahualam

No comments: